Parlimen Kapit yang diwakili oleh MP BN-PBB juga memerangkap Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah iaitu Datuk Alexander Nanta Linggi merupakan Safe Seat bagi BN-PBB dan juga merupakan wakil MP Dayak No.1 Safe Seat yang dilantik sebagai Timbalan Menteri melalui keputusan PRU13 lalu dengan jumlah 13446 undi (77.1%) dengan mengalahkan wakil DAP. Ini adalah kali pertama beliau ditentang di kawasan P.215 Kapit setelah dua(2) kali menang tanpa bertanding di PRU sebelumnya di kawasan majoriti pengundi Dayak (lebih 23000 pengundi) berdaftar di kawasan Parlimen Kapit.
Walau bagaimanapun, Parlimen yang mempunyai tiga(3) DUN tersebut iaitu N.61 Pelagus, N.62 Katibas dan N.63 Bukit Goram pada PRN 11 Sarawak yang lalu, iaitu selepas persempadanan semula menyaksikan peningkatan ketara lebih 500 undi di keseluruhan DUN di bawah parlimen tersebut yang diperolehi oleh wakil DAP iaitu sebanyak N.61(494), N.62(1628) dan N.63(2010), terutamanya di N.62 Katibas yang diwakili oleh DAP dengan peningkatan sebanyak 973 undi. Untuk rekod, lebih 80% pengundi P.62 Katibas adalah Dayak (Iban) dan mempunyai lebih 150 rumah panjang.
N.62 Katibas, satu-satunya DUN yang mengekalkan penyadangnya dari BN-PBB iaitu Datuk Ambrose Belikau sebagai calon semasa PRN 11 lalu, manakala N.61 Pelagus dan N.63 Bukit Goram yang telah dilakukan persempadanan semula oleh SPR menyaksikan pertembungan muka baru di antara BN-PBB dan DAP. BN-PBB pada PRU 10 terdahulu yang gagal memenangi DUN Pelagus, malah telah menyaksikan wakil DAP berjaya memperolehi lebih 3000 undi di DUN tersebut semasa PRU 13 lalu, dilihat sebagai faktor persempadanan semula DUN tersebut agar BN-PBB mampu meraih lebih banyak undi di DUN N.61 Pelagus tersebut yang lebih 90% pengundinya adalah Dayak(Iban) sehingga telah membawa kemenangan kepada wakil BN-PBB di PRN 11 yang lepas dengan jumlah undi 3778. Walau bagaimanapun kejayaan wakil DAP mendapat 2010 undi di DUN N.63 Bukit Goram yang merupakan DUN baru membuktikan bahawa penyokong khasnya pengundi parti pembangkang khususnya DAP tidak tergugat dengan propaganda dan cara BN-PBB.
P.215 Kapit yang merupakan kawasan parlimen luar bandar dan majoriti Dayak yang dilihat oleh kepimpinan BN-PBB sebagai satu "SIMPANAN TETAP" malah "SELAMAT" buat mereka melalui propaganda hanya BN-PBB mampu menjaga dan memajukan kawasan luar bandar dan juga sosio ekonomi penduduk setempat termasuk kepentingan serta hak kaum Dayak itu sendiri khasnya.
Malah kepimpinan BN-PBB, dengan sokongan padu sekutunya BN-UMNO mengumumkan bajet ratusan juta ringgit di sebalik kemelut kewangan Negara yang makin meruncing untuk projek pembangunan jangka panjang di kawasan Kapit melalui kunjungan muhibah dan pengumuman terus oleh Perdana Menteri dan juga Ketua Menteri Sarawak sejak selepas PRU 13 dan juga sebelum serta selepas PRN 11 yang lalu.
Ini disusuli oleh pengenalan bajet RTP sebanyak RM5 juta untuk setiap DUN yang diwakili oleh BN oleh kerajaan negeri, dan semestinya memberi kelebihan kepada Kapit kerana ketiga-tiga DUN di kawasan Kapit adalah diwakili oleh BN sebagaimana juga MP P.215 Kapit(BN-PBB) itu sendiri yang mempunyai bajet PMR sebanyak RM5 juta selain menyandang jawatan Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.
Ini dijadikan satu modal politik utuh dan berterusan oleh kepimpinan BN-PBB di dalam meraih kepercayaan masyarakat Kapit khasnya penyokong serta pengundi BN.
Ironinya, taburan janji ratusan juta projek kerajaan kepimpinan BN-PBB itu bukan sahaja tidak mampu mengekalkan sokongan dan kepercayaan masyarakat dan pengundi malah gagal mengekang peningkatan sokongan kepada parti pembangkang khasnya di kawasan pendalaman.
Ini dilihat sebagai satu mesej penting yang ingin disampaikan oleh masyarakat dan pengundi di kawasan pendalaman kerana mereka sudah muak dan lali dengan sosok pemimpin yang hanya menjadi “TUKANG SADUNG” yakni hanya mengambil kredit melalui pengumuman projek mega ratusan juta mahupun kecil-kecilan di peringkat kampung serta juga penampilan VIP sebagai pemberi dan merasmikan projek MRP dan RTP di majlis-majlis anjuran agensi-agensi berkaitan dan juga rumah-rumah panjang.
Ini kerana rakyat kian sedar dan melihat dengan jelas kaedah kepimpinan BN-PBB yang mengamalkan dasar pilih kasih, pecah dan perintah serta ketuanan membabi buta yang dilihat bukan satu dasar politik matang dan utuh serta berpanjangan di dalam memacu kemajuan masyarakat bukan sahaja di peringkat pembangunan prasarana tetapi juga intelek, emosi, rohani dan jasmani khasnya generasi muda dan akan datang.
Ini terbukti dengan kaedah “MENYERANG” yang diterapkan oleh pemimpin BN-PBB sebagaimana yang diminta oleh pucuk pimpinan BN iaitu Perdana Menteri sendiri, tidak kira kepada pemimpin pembangkang,malah penyokong dan pengundi parti pembangkang itu sendiri sehingga menyebabkan wujudnya rasa benci di kalangan kelompok penyokong kedua belah pihak.
Sesungguhnya ini dilihat bukan satu dasar dan kaedah politik yang sihat kerana Sarawak, khasnya Kapit merupakan populasi penduduk yang kebanyakkannya masih tinggal di rumah panjang dan semestinya mengamalkan hidup bermasyarakat dan toleransi.
Slogan 1 Malaysia yang dicanangkan oleh BN dilihat satu kegagalan secara total apabila pemimpin mereka dilihat dengan lantang menidakkan hak dan menerapkan persepsi negatif bukan sahaja kepada wakil pembangkang, malah penyokong yang menyebabkan perpecahan dan persengketaan di peringkat masyarakat.
Lebih teruk lagi, boleh menyebabkan perpecahan komuniti rumah panjang itu sendiri kerana bukan sahaja momokan oleh pemimpn BN-PBB tetapi campur tangan politik mereka di dalam perlantikan pimpinan tempatan termasuk Ketua Kampung di dalam usaha mereka menjaga dan mengekalkan kepentingan politik mereka.
Justeru, kata keramat pemimpin BN-PBB ,
“Hanya kerajaan pimpinan BN mampu membawa kesejahteraan dan kemajuan serta projek tidak dapat dijalankan sekiranya BN kalah semasa pilihan raya”
tidak lagi mampu mengaburi mata masyarakat khasnya pengundi kerana ianya sudah terbukti tidak benar semenjak berdekad pemerintahan BN-PBB di Kapit.
Sememangnya penduduk Kapit memerlukan pembangunan infrastruktur sebagaimana kawasan bandar untuk memudahkan urusan harian sama ada rasmi mahupun tidak rasmi, tetapi penduduk Kapit masa ini inginkan sosok pemimpin yang mewakili mereka boleh menjadi suara mereka yang lantang dan berwibawa di peringkat pusat bagi menyuarakan keperluan dan mempertahankan serta memperjuangkan hak mereka dan bukannya pemimpin yang “Yes Boss” dan “OK Boss”.
Meskipun senario politik Sarawak tidak sehebat politik di Semenanjung, di mana diramalkan “Tsunami Melayu” akan berlaku semasa PRU 14 kelak, tetapi tidak boleh dinafikan bahawa penerimaan dan pandangan politik masyarakat setempat kian terbuka kerana mereka sendiri mampu melihat dan membandingkan di manakah kedudukkan mereka pada aras kemajuan dan keutamaan mereka setelah berdekad menunjukkan kesetiaan kepada pemerintahan BN-PBB berbanding kawasan lain terutamanya Semenanjung Malaysia, khasnya negeri yang diwakili oleh pakatan pembangkang.
Bagi mereka,
"KEMUNDURAN INI TIDAK LAYAK BUAT MEREKA YANG SETIA KEPADA TUANNYA,TETAPI TUANNYA HARUS "UNDUR" SEKIRANNYA SUDAH TIDAK LAYAK LAGI"
Paren Anak Nyawi
Pengerusi DAP Katibas