Gambar Sekadar Hiasan: Ulu Katibas ,SONG , SARAWAK |
Kebelakangan ini makin banyak aktivis, NGO Dayak dan juga parti politik pembangkang memberi perhatian kepada isu Native Customary Right(NCR) @ Pemakai Menua dan Pulau Galau sehingga berlakunya tuntutan di mahkamah oleh pemilik tanah atau lebih dikenali sebagai Orang Asal. Malah ada tuntutan yang memihak kepada Orang Asal yang membawa kemenangan tuntutan ke atas tanah milik mereka daripada pihak syarikat dan juga kerajaan negeri.
Isu Native Customary Right(NCR) kian mendapat liputan meluas apabila menteri kerajaan BN-PBB mengumumkan 425,999 hektar tanah di Sarawak yang merangkumi 59 buah rumah panjang diwartakan di bawah Seksyen 6 Native Communal Reserve(NCR) dan bukannya Native Customary Right(NCR) yang sepatutnya. Di bawah Seksyen 6 ini, Native Communal Reserve(NCR) merujuk kepada tanah gunasama di antara penama tanah dan kerajaan negeri Sarawak yakni kerajaan BN-PBB, yang jelas membawa maksud bahawa Orang Asal yang diwartakan sebagai penama tanah tersebut bukanlah PEMILIK KEKAL tanah tersebut sebagaimana yang mereka andaikan. Justeru, Orang Asal ini dengan jelas diiktiraf oleh kerajaan BN-PBB sebagai penumpang di tanah asal mereka, yang mereka warisi sejak turun temurun mahupun diteroka sendiri oleh mereka. Ini membawa maksud bahawa kerajaan negeri (BN-PBB) mempunyai hak ke atas tanah milik Orang Asal ini, dan boleh mengambil tindakan mengusir mereka dan mengambilalih tanah tersebut atas nama pembangunan yang dijalankan oleh kerajaan BN-PBB. Persoalannya, adakah kerajaan BN-PBB melalui pemimpin mahupun agen-agen mereka menerangkan perkara ini secara terbuka dan terperinci kepada semua masyarakat Orang Asal iaitu penama tanah tersebut sebelum mereka mendapatkan persetujuan untuk mewartakan tanah tersebut di bawah Seksyen 6. Atau kerajaan BN-PBB menggunakan kaedah sama yang amat terkenal mereka gunakan, iaitu hanya dengan mendapatkan persetujuan daripada Ketua-ketua Masyarakat yang jelas pro kerajaan BN-PBB kerana mereka adalah ketua masyarakat yang dipilih sendiri oleh kerajaan ini.
Pengistiharan hanya Tanah Temuda (tanah kegunaan pertanian) yang diteroka sebelum 1 Januari 1958 sebagai Native Customary Right (NCR) oleh kerajaan Negeri Sarawak di bawah pemerintahan BN-PBB dengan kenyataan oleh menteri – menteri mereka bahawasanya Pemakai Menua dan Pulau Galau yang dipertahankan oleh Orang Asal ini bukanlah milik mereka. Ini kerana menurut menteri BN-PBB, Orang Asal bebas untuk memburu atau mencari hasil hutan di dalam kawasan Pulau Galau atau Pemakai Menua di kawasan mereka, tetapi Orang Asal tidak boleh mendakwa bahawa mereka adalah pemilik Pulau Galau dan Pemakai Menua ini kerana, tanah yang tidak mempunyai geran dan juga belum diwartakan oleh Jabatan Ukur dan Tanah Sarawak adalah milik kerajaan Negeri, yakni Kerajaan BN-PBB. Dengan kata lain, pemimpin kerajaan BN-PBB mengistiharkan dengan terbuka bahawa tanah Sarawak ini adalah milik kerajaan Negeri di bawah pemerintahan BN-PBB secara amnya. Ini adalah kerana bagaikan sudah terang lagikan bersuluh, sememangnya tanah milik Orang Asal di Sarawak kebanyakkannya tidak mempunyai geran kerana dasar birokrasi pemerintahan kerajaan BN-PBB itu sendiri. Mereka mahupun agen-agen mereka tidak pernah pun dengan secara terbuka dan terperinci menerangkan kepentingan pewartaan hak milik tanah ini kepada Orang Asal sejak pemerintahan mereka berdekad lalu. Apatah lagi menghulur tangan membantu Orang Asal ini mendapatkan status pemilikan tanah mereka. Pemerintah BN-PBB lebih sudi menggunakan kuasa mereka untuk membantu syarikat-syarikat besar mendapatkan lesen – lesen pembalakan dan perladangan dengan nama pembangunan di atas tanah milik Orang Asal ini tanpa mengambil kira kesan dan implikasi penerokaan tanah milik Orang Asal ini yang mana menjadikan tanah ini sebagai punca pencarian dan kehidupan mereka.
Kini isu Native Customary Right (NCR)@Pemakai Menua dan Pulau Galau mendapat perhatian umum kerana ianya bukan sekadar tuntutan pemilikan tanah oleh Orang Asal di mahkamah, tetapi telah melibatkan pertikaian di antara Orang Asal dan juga syarikat-syarikat yang telah mendapat kelulusan daripada kerajaan negeri yakni kerajaan BN-PBB sehingga melibatkan pembinaan halangan, pembakaran jentera, bantahan secara terbuka dan yang lebih teruk adalah pergaduhan sehingga berlakunya pembunuhan. Justeru isu ini bukanlah sekadar menjadi paksi untuk mengambil kesempatan oleh para aktivis, NGO mahupun parti politik pembangkang, tetapi ianya adalah suatu isu kemanusiaan dimana pihak pemerintah kerajaan negeri iaitu BN-PBB melalui proxi dan agen mereka telah mengambil kesempatan di atas kesempitan pengetahuan Orang Asal ini terhadap dasar polisi dan undang – undang yang digunapakai ke atas tanah milik mereka sebagai Orang Asal sehingga hak mereka dirompak secara Undang-undang.
Paren Nyawi
Pembantu Khas kepada Ahli Parlimen Sibu ,Sarawak.
Pembantu Khas kepada Ahli Parlimen Sibu ,Sarawak.
No comments:
Post a Comment